Semoga kembali sembuh Koperal Azmi

Walaupun dalam keadaan dirinya tidak bermaya, namun wajah Koperal Azmi Kamarudin terukir senyuman apabila menerima kunjungan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara yang datang untuk menziarahinya.

Azmi, 34, yang menghidap barah rahang mulut sebelum itu menyatakan hasrat kepada isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari, 36, untuk bertemu dengan bekas rakan setugasnya di Balai Polis Kepala Batas.

Noor Ifa berkata, suaminya memaklumkan mahu berjumpa semula dengan rakan sekerja ketika dia berkhidmat di Balai Polis Kepala Batas dahulu sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Saya hanya memaklumkan secara dalaman, tetapi ia menjadi tular namun reaksi suami apabila menerima kunjungan rakan-rakannya menunjukkan bahawa dia sangat gembira dan mengenali semua yang datang melawatnya.

“Mungkin dia ingin mencari semangat dan doa daripada rakan-rakannya ekoran penyakit yang dialaminya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bertam Perdana, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Azmi menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang turut menyampaikan bantuan seperti susu, lampin pakai buang serta barangan keperluan harian.

Mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatan Azmi, Noor Ifa berkata, suaminya pernah menjalani pembedahan pada 2012 selepas terdapat ketumbuhan di bahagian gigi.

“Selepas itu keadaan suami pulih sebelum terdapat satu lagi ketumbuhan dikesan di bahagian mata berhampiran otak pada 2018.

“Ketumbuhan itu dibuang ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun lama-kelamaan ia merebak sehingga menjadi kanser lalu menyebabkan keadaan kesihatan suami semakin merosot di mana perlu menjalani rawatan kemoterapi serta radioterapi pada Oktober tahun lalu,” katanya.

Noor Ifa berkata, suaminya dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) pada Jumaat lalu akibat sesak nafas, namun doktor menasihatkan supaya dibawa pulang kerana wabak Covid-19 boleh membahayakan nyawa suaminya.

“Saya menuruti nasihat doktor dan bersyukur sangat pada saat ini ibu bapa suami datang dari Sarawak ke Pulau Pinang bagi memberi semangat kepada anak mereka termasuk mahu membawa pulang suami ke kampung halaman untuk dirawat di sana sekiranya boleh,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya sebelum itu sudah beberapa kali menziarahi Azmi selepas mendapat khabar mengenai penyakit dialami anggota polis terbabit.

“Pada ketika itu keadaan Azmi kurang baik dan didapati ia sama seperti beberapa kunjungan sebelum ini, namun sebagai rakan setugas kami tidak pernah sesekali melupakannya termasuk rakan-rakan yang sudah bersara apabila berusaha datang untuk memenuhi permintaannya.

“Walaupun dalam sibuk bertugas terutama ketika berdepan pandemik Covid-19 ini, kami akan sentiasa mendoakan Azmi serta rakan-rakan lain yang diuji dengan penyakit agar segera sembuh,” katanya.

Terdahulu, kisah Azmi yang kini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK Pulau Pinang menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai pihak.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/667869/semoga-kembali-sembuh-koperal-azmi