PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) memohon dan merayu kepada kerajaan untuk menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membolehkan penggambaran dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, Seniman mewakili 7,000 ahli meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mempertimbang semula pembukaan operasi industri kreatif demi kelangsungan hidup.
Beliau berkata, Seniman akur dan sentiasa patuh dengan arahan kerajaan sepanjang tempoh PKP ini.
Bagaimanapun, katanya, warga kerja Industri Kreatif di Malaysia ini kebanyakkannya berkerja secara ‘freelance’ atau ‘job basis’.
“Justeru, apabila dikuatkuasakan PKP, kami tidak lagi dibenarkan menjalankan penggambaran dan tiada pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup, kami juga mempunyai tanggungjawab terhadapa keluarga dan anak-anak kami serta hutang yang perlu dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Seniman memohon agar kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan atau SOP untuk mereka meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup dalam tempoh yang amat mencabar ini.
“Pihak penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai ‘dateline’ untuk menyiapkan sesebuah karya.
“Seniman sangat bimbang dan risau dengan ahli-ahli kami yang semakin terhimpit akibat wabak Covid-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan,”katanya.
Beliau berkata, sektor pengilangan dan pembinaan yang menjadi penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 di Malaysia setiap hari masih dibenarkan untuk terus beroperasi.
“Jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa Industri Kreatif tidak dibenarkan
beroperasi, kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Seniman sekali lagi mendesak pihak Kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan dan SOP kepada warga Industri Kreatif secepat mungkin untuk kami meneruskan penggambaran demi
kelangsungan hidup kami dan keluarga.
“Seniman percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia termasuk kami di dalam Industri Kreatif yang amat terjejas sekiranya kami terus tidak dibenarkan menjalankan penggambaran secepat mungkin,” katanya.
Sebelum itu, Finas memberi peringatan kepada semua aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini susulan pengumuman Ismail Sabri berhubung pelaksanaan PKP di seluruh Malaysia kecuali Sarawak yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini. –Malaysiapost