Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul isterinya dengan kunci mangga selepas wanita itu dikatakan enggan keluar rumah sebaik dihalau.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 37 tahun itu yang juga seorang peniaga ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Kapar Batu 5 di sini, jam 12.20 pagi, semalam.
“Mangsa berusia 31 tahun membuat laporan pada 6.50 petang, Khamis lalu dan mendakwa suaminya menggigit serta memukulnya dengan menggunakan kunci mangga.
“Difahamkan, pasangan itu sebelum ini kerap bertengkar dan ini kejadian pertama wanita itu dipukul.
“Punca suspek menghalau mangsa keluar dari rumah kerana dikatakan sudah mempunyai perempuan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurulhuda berkata, pasangan itu sudah berkahwin kira-kira empat tahun dan mempunyai seorang anak.
Katanya, mangsa cedera selepas digigit di bahu dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada hari kejadian.
“Suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
kredit harian metro