Lebih 400 penghuni premis perniagaan di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, mula menjalani ujian saringan COVID-19 sejak pagi tadi.
Tinjauan mendapati mereka hadir mulai jam 8 pagi, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula di kawasan itu tengah malam tadi.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata pihaknya dibantu polis untuk pergi ke setiap premis kediaman bagi menjalankan ujian saringan COVID-19 di kawasan berkenaan.
Menurutnya, penghuni yang selesai menjalani ujian saringan akan dipakaikan gelang dan diarah menjalani kuarantin.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan ujian saringan itu akan dapat diselesaikan petang ini, manakala ujian saringan kedua akan diadakan pada hari ke-13 nanti.
“Kawasan ini dikenakan perlaksanaan PKPD kerana terdapat dua kes positif kluster Bah Medan dikesan pada 4 Oktober lalu, manakala 40 kes lagi dikesan selepas ujian saringan dilaksanakan terhadap 113 individu dan mereka kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB),” katanya kepada media ketika ditemui hari ini.
Pagi tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir meninjau kawasan PKPD terbabit.
Beliau dilihat tiba pada jam 8.52 pagi dan beredar pada 9.47 pagi selepas mengadakan tinjauan di kawasan komersil itu.
Sebanyak 284 premis perniagaan beroperasi di kawasan seluas 2.64 hektar termasuk sebuah hotel, bank, restoran, kedai runcit dan kedai dobi.
Seramai 60 kakitangan KKM, 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, 49 anggota tentera termasuk pegawai dan 100 anggota polis ditugaskan di PKPD ini.
Sha’ari berkata, KKM mengambil masa selama tiga hari bagi mendapatkan keputusan ujian saringan yang dijalankan itu.
Katanya, maklumat lanjut mengenai PKPD yang dikenakan di kawasan itu akan diumumkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/752950/pkpd-bandar-baru-salak-tinggi-400-penghuni-buat-saringan