Rang Undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang lebih dikenali sebagai RUU 355 perlu dirunding dengan negeri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.
Katanya, langkah itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan kerajaan negeri berhubung RUU itu.
“Walaupun RUU 355 merupakan undang-undang persekutuan, peruntukan di bawahnya berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan undang-undang bertulis yang memperuntukkan kesalahan jenayah syariah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) jika RUU 355 dibentang di Dewan Rakyat terlebih dahulu, barulah pindaan itu dibincangkan dengan setiap negeri.
Perbahasan RUU 355 ditangguhkan sejak 2017, selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pertama kali membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat pada Mei 2016.
RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Marzuk berkata, kerajaan Perikatan Nasional komited membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya, ada beberapa proses penting yang perlu diteliti dan diselesaikan terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Ini agar ia dapat digubal dan dibentangkan mengikut tertib dan teratur berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.”
Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/26/ruu-355-perlu-dirunding-dengan-negeri-sebelum-ke-parlimen-kata-timbalan-menteri/