Tiada keperluan PKPB di Kelantan

Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan memandangkan keadaan COVID-19 masih terkawal setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata peningkatan kes tidak boleh dilihat dalam tempoh sehari dua sahaja, sebaliknya faktor lain perlu diambil kira sebelum pelaksanaan PKPB sebagaimana di kebanyakan negeri lain.

“Jumlah peningkatan kes di Kelantan sejak kebelakangan ini memang sudah dijangka disebabkan wujudnya Kluster Kube.

“Jika dilihat kepada statistik semasa dan kluster yang ada, ia masih terkawal setakat ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, antara faktor lain yang perlu dilihat yang memerlukan kepada PKPB adalah jumlah bilangan kluster yang ada di sesebuah negeri berkenaan.

“Pada masa sama, kluster berkenaan terkawal atau tidak, bilangan jangkitan tempatan dan pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard,” katanya.

Sehingga semalam, Kelantan mempunyai 31 kes aktif dengan satu Kluster Kube.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan Kelantan akan dikenakan PKPB bermula esok berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/754696/tiada-keperluan-pkpb-di-kelantan