TNB rancang senaraikan unit jana tenaga di Bursa Malaysia

Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempertimbangkan untuk menyenaraikan perniagaan penjanaan tenaga di pasaran saham tempatan tahun depan susulan penyusunan semula korporat, menurut individu yang rapat dengan perkara itu.

Firma utiliti negara itu sedang bekerjasama dengan penasihat berhubung rancangan penstrukturan semula itu dan menyasar untuk memuktamadkan proses itu seawal separuh pertama tahun depan, kata sumber.

Sebaik dimuktamadkan, rancangannya adalah untuk menyenaraikan perniagaan penjanaan, dengan pelabur akan diberikan saham mengikut bahagian pegangan sedia ada masing-masing di dalam TNB, katanya.

Pertimbangan masih di peringkat awal dan tiada jaminan urus niaga itu akan diteruskan, kata sumber, yang enggan dikenali kerana proses berkenaan adalah sulit.

Untung bersih empat bulan TNB RM2.74 bilion

Seorang wakil TNB berkata, syarikat itu tidak melakukan persediaan untuk menjalankan penyenaraian, dengan tumpuan semasa ketika ini adalah memacu kecekapan operasi bagi unit penjanaan.

Antara pemegang saham terbesar TNB adalah Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

TNB memperoleh kelulusan pemegang saham dalam satu mesyuarat khas Februari lalu untuk menyusun semula perniagaan penjanaan dan pengedaran tenaga kepada syarikat pegangan berasingan, menurut satu makluman di Bursa Malaysia.

Langkah itu adalah persediaan bagi pembaharuan dalam industri bekalan tenaga di Malaysia, kata TNB dalam satu kenyataan.

Perolehan sebelum faedah dan cukai unit penjanaan tenaga TNB pada 2018 adalah RM1.6 bilion, menurut kenyataan terbabit.

Ia menyasarkan peningkatan sehingga RM2.6 bilion pada 2025.

Syarikat tenaga itu akan menjejaki konglomerat Sime Darby Bhd, yang menyenaraikan unit hartanah dan perladangan pada 2017.

TNB, yang mempunyai nilai pasaran kira-kira RM59.3 bilion, memiliki 47 loji di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti penjanaan domestik 10,617 megawatt, menurut laporan tahunan 2019 syarikat.

Ia juga mempunyai kehadiran di United Kingdom (UK), Kuwait, Turki, Arab Saudi, Pakistan, India dan Indonesia.

Sumber