Tular di media sosial penemuan mayat tinggal tulang tengkorak dalam longkang di Jalan Kebun

Satu mayat ditemui di dalam longkang yang terletak di hadapan sebuah sekolah dekat Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Video mengenai penemuan tersebut mula tular dan dikongsikan orang awam sejak awal pagi Isnin.

Menurut makluman awal dikongsikan di media sosial, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan sudah reput.

Tular di media sosial penemuan mayat tinggal tulang tengkorak dalam longkang di Jalan Kebun

“Ada mayat tinggal tulang sahaja dekat dalam longkang,” tulis Hidayah Yaya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook, Nur Afifah Samat yang dipercayai berada di lokasi memaklumkan mayat berkenaan dipercayai ditemui seorang budak yang ingin pergi memancing di kawasan berhampiran.

“Tadi ada dekat situ. Ada budak pergi memancing lepas itu jumpa kepala tengkorak dalam longkang besar itu,” tulis Nur Afifah Samat.

Pihak polis juga didapati sudah mengawal rapi tempat tersebut dengan sebuah jentera bomba turut berada di lokasi.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar mengesahkan mengenai penemuan mayat tersebut.

Menurutnya, bomba menerima panggilan daripada polis sekitar pukul 10.29 malam Ahad untuk memberikan bantuan membawa naik satu mayat yang berada di dalam longkang.

“Pihak polis meminta bantuan bomba untuk bantuan tangga bagi proses membawa naik mayat tersebut. Proses membawa naik mayat tersebut dijalankan oleh anggota polis sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, identiti mayat bagaimanapun masih belum dikenal pasti.

BACA: KJ Tak Akan ‘On Air’ di konti Hot FM selagi ada Konflik Dengan AG ? ini puncanya ramai nak tahu