Veteran DAP Selangor, Teng Chang Khim, mengumumkan akan bersara daripada politik selepas pembubaran Dewan Negeri Selangor, selepas 25 tahun berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.
ADUN Bandar Baru Klang itu, yang menyertai DAP 30 tahun lalu, mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang, dan tidak akan menyertai pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat partinya tahun ini dan jawatankuasa DAP Selangor kelak.
“Saya sudah sumbang separuh hayat saya berkhidmat kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
“Tiada apa lagi yang saya inginkan kecuali berundur dengan baik selepas tamat penggal perkhidmatan saya.”
Beliau berkata sekarang ini ada banyak bakat-bakat baru dan berkebolehan dalam DAP yang boleh mengisi tempatnya.
“Saya dengan kemampuan yang ada tanpa henti menyumbang sebaik mungkin untuk membantu membina negara ini, terutama Selangor, dan saya serahkan kepada rakyat dan sejarah untuk menilai diri ini.”
Teng, 57, lahir di Batu Pahat, Johor mempunyai latar belakang sebagai seorang peguam.
Beliau pertama kali terpilih sebagai Ahli DUN Selangor pada pilihan raya 1995, apabila menang kerusi Bukit Gasing.
Beliau meneruskan rekod tanpa kalah pada PRU 1999 (Bandar Klang), 2004 (Sungai Pinang), 2009, 2013, dan 2018 (Bandar Baru Klang).
Teng satu-satunya wakil rakyat DAP di Selangor pada 1999.
Beliau pernah mencuba nasib sebagai Ahli Parlimen, namun tewas di Bukit Bintang (1995) dan Klang (1999).
Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/03/cukuplah-veteran-dap-umum-tak-akan-tanding-selepas-bubar-dun/